Monday, February 20, 2012

BERJALAN TANPA HENTI - PART 2

“Anti dah siap? Ana dah siap. Jom!” kata Iffah penuh semangat. Pada hari itu, dia memakai jubah berwarna hitam dengan sehelai tudung labuh berwarna biru laut. Purdah yang senada dengan warna tudungnya turut disarung. Biarpun pada mulanya dia agak kekok menyarung pudah itu, namun dikuatkan hatinya. Dengan memakai pakaian sebegitu, dia mampu menjaga pandangannya daripada melihat perkara mungkar.

“Dah. Jom pergi” seperti biasa, Afifah membalas lemah. Hari itu, mereka pergi ke hospital dengan sebuah kereta Perodua Myvi yang dipandu oleh Iffah. Kereta itu merupakan kereta yang dipinjam daripada Wardah. Di sepanjang perjalanan, mereka asyik berbual-bual mengenai pelbagai topik sambil mendengar lagu-lagu nasyid yang berkumandang di radio Ikim fm.

Sampai sahaja di hospital, mereka terus ke tempat pendaftaran pesakit. Usai mendaftar, mereka melabuhkan punggung di kerusi sambil menunggu giliran untuk bertemu dengan doktor. Afifah kelihatan gelisah. Dia takut didiagnosis mempunyai penyakit barah memandangkan keluarganya mempunyai sejarah penyakit barah. Abang sulungnya telah meninggal dunia akibat barah tulang. Setaelah hampir satu jam menunggu, tibalah giliran Afifah untuk bertemu dengan doktor.

“Assalamualaikum doktor”

“Waalaikummussalam. Hai. Nama saya Doktor Fazlin. Boleh saya tahu awak sakit di bahagian mana?

“Saya sakit di bahagian perut.”

“Awak ada muntah?”

“Ya. Ada juga. Kadang-kadang saya rasa pening”

“Berdasarkan kenyataan yang awak berikan, saya rasa awak menghidap apendiks”

“Apendiks?”

“Ya. Tapi awak jangan risau. Ia tidak terlalu berbahaya jika dapat dikesan di peringkat awal. Cuma memerlukan pembedahan kecil untuk membuang apendiks. Tapi sebelum itu, awak perlu membuat X-ray untuk mengenal pasti penyakit awak. Jom ke bilik X-ray” ajak Doktor Fazlin kepada Afifah.

Mereka berjalan beriringan menuju ke bilik X-ray. Selesai sahaja melakukan X-ray, Doktor Fazlin terus membuat kesimpulan bahawa Afifah disahkan menghidap apendiks. Afifah dijadualkan menjalani satu pembedahan kecil pada minggu hadapan.

*****

‘PELAJAR JURUSAN AGAMA DILIHAT BERJALAN BERIRINGAN DENGAN LELAKI BUKAN MAHRAMNYA’

Tajuk itu terpampang di blog salah seorang pelajar terkenal di IPTA itu. Ia pastinya tajuk yang menggemparkan seluruh warga IPTA itu kerana pelajar jurusan agama sering dilihat sebagai seorang yang taat perintah agama dan menjaga pergaulan.

“Ya Allah, fitnah apa lagi ni,” keluh Nuzul. Ke mana-mana sahaja dia dan sahabat bertudung labuh pergi, pastinya diiringi pandangan sinis orang lain. Sekali lagi maruah golongan ini tercalar. Benarlah kata seorang orang, kata-kata itu lebih tajam berbanding dengan mata pedang.

*****

“Kau tahu tak, si Wardah tu, Nampak sahaja baik. Tapi hati busuk macam tong sampah. Harap saja pakai tudung labuh. Perangai? Lebih teruk daripada kita kan? Ini mesti kes pakai tudung labuh sebab nak tunjuk baik. Baiklah sangat dia tu. Padahal pergi ‘dating’ dengan kekasih” bisik seorang siswa kepada rakanya perlahan. Namun, cukup kuat untuk didengari Wardah yang lalu di hadapan mereka.

“Wardah hampir terpaku mendengar kata-kata itu. Air matanya hampir tumpah di hadapan siswa itu. Namun, ditahannya agar tidak kelihatan lemah di hadapan insan yang tidak mengenalinya itu. Langkahnya ke bilik diatur laju. ‘Mood’ untuk makan terus mati. Sepanjang perjalanan ke biliknya, banyak mata memandangnya dengan sinis.

Sampai sahaja di biliknya, dia cepat-cepat membuka pintu biliknya. Selepas menutup pintu, dia terduduk di hadapan pintu. Wardah tidak mampu lagi menahan tagisannya. Air mata Wardah gugur lebat. Nadzirah yang kebetulan berada dalam bilik ketika itu terus menerpa ke arah sahabat yang dikasihinya. Lalu memeluk Wardah seerat mungkin. Wardah menangis teresak-esak di dalam pelukan sahabatnya. Lama mereka berdua berada dalam keadaan begitu. Setelah keadaan Wardah kembali tenang, Nadzirah memulakan bicaranya.

“Wardah. Kenapa dengan anti? Boleh anti ceritakan?” bicara diatur penuh lembut agar tidak menyinggung perasaan sahabatnya.

“Ana difitnah Nadzirah. Ana difitnah” sekali lagi esak tangisnya menguasai diri. Nadzirah kembali memeluk sahabtnya dengan penuh kasih sayang untuk menenangkannya.

“Wardah, betulkan ini fitnah? Lalu siapa lelaki yang dikatakan bersama anti tempoh hari?” tanya Nadzirah kepada Wardah setelah dilihatnya keadaan Wardah sedikit tenang.

“Lelaki itu abang ana. Dia baru sahaja pulang dari New Zealand. Sudah lima tahun ana tidak bertemu dengannya. Dia bukan kekasih ana seperti yang didakwa oleh orang lain” jelas Wardah sambil air matanya terus menitis.

“Ooo…abang anti? Jadi bagaimana boleh timbul isu ini?” aju Nadzirah lagi.

“Ana tidak tahu Nadzirah. Ana tidak tahu. Mungkin ada orang cemburu dengan ana. Ada yang mengkhabarkan kepada ana bahawa ada yang tidak senang hati setelah ana memenangi pertandingan pidato dua bulan lepas” rintih Wardah kepada sahabatnya itu.

“Ya Allah, siapa yang berhati busuk ni? Sabar Wardah. Jangan pernah mengalah dengan ujian ini. Ana tahu anti berada di pihak yang benar. Usah takut duhai sahabat. Allah sentiasa bersama orang yang benar” pujuk Nadzirah. Hatinya pilu apabila sahabatnya difitnah sebegitu rupa. Tidak tahukah mereka bahawa dosa memfitnah itu lebih besar daripada dosa membunuh?

*****

“Assalamualaikum warahmatullah semua. Alhamdulillah kerana kita semua dapat berkumpul lagi pada minggu ini. Seperti biasa, kita baca surah Al-Fatihah terlebih dahulu untuk mendapat keberkatan daripada Ilahi” tutur Nuzul.

“Apa khabar semua? Sihat? Afifah, bagaimanakah keadaan anti? Sudah sembuh sepenuhnya?” tanya Nuzul kepada Afifah.

“Alhamdulillah Kak Nuzul. Ana sudah sihat sepenuhnya. Syukran atas doanya, sahabat”lembut bicaranya.

“Alhamdulillah. Segala puji bagi Allah yang berkuasa menyembuhkan segala jenis penyakit. Hmm…sebelum akak membuka topik pada minggu ini, kalian ada apa-apa soalan atau masalah yang ingin dikongsi bersama?” pertanyaan diaju kepada adik-adik usrahnya.

“Akak, ana ada pertanyaan yang ingin ana tujukan kepada Wardah. Wardah, benarkah apa yang difitnah kepada anti?” soalan yang terbuku di hati diluahkan Aqilah. Wardah tertunduk mendengar soalan itu. Dia malu dengan fitnah yang dilemparkan kepadanya.

“Hmm…ana difitnah. Lelaki itu bukan kekasih ana. Dia abang ana. Dia baru saja pulang dari New Zealand. Ana minta maaf. Disebabkan ana seorang, habis kalian dipandang sinis. Maafkan ana” air matanya menitis di pipi mulusnya ketika memberi penjelasan itu.

Aqilah memeluk sahabatnya itu. “maafkan ana jika soalan ana melukakan hati anti. Maafkan ana sahabat” bisik Aqilah di telinga Wardah. Terbit rasa menyesal di hati Aqilah. Namun, kata-kata itu tidak dapat ditarik balik. Masa tak mungkin dapat diundur.

*****

Hari-hari yang mendatang dilalui dengan tenang. Segala pandangan jelik dan cercaan dihadapinya dengan tenang. Lama-kelamaan, fitnah yang dihamburkan kepadanya kian dilupakan. Sehingga kini, dia tidak tahu siapa yang menimbulkan fitnah terhadap dirinya. Biarlah, dia tidak mahu menyimpan dendam di hatinya. Dendam hanya membuatkan dirinya menjadi seorang yang pemarah. Wardah semakin tabah menghadapi dugaan hidup. Dia tidak cepat melenting lagi apabila difitnah oleh orang yang cemburu melihat kejayaannya.

Wardah tahu, dia perlu terus berjalan tanpa henti, tanpa berpaling ke belakang lagi dalam hidup ini. Hidup tetap perlu dilalui biarpun dilanda badai dunia.

“Umi, kakak lapar la. Nak makan nasi?” suara anak kecil itu menghentikan lamunannya. Segala kenangan manis dan pahit tersimpan erat di kotak mindanya. Pintanya kepada Ilahi, agar persahabatan yang disulami itu terus kekal hingga ke syurga.

‘Ya Allah, hanya kepada-Mu hamba berserah, hanya kepada-Mu tempat hamba berlindung daripada segala fitnah dunia. Jadikan aku seorang hamba yang cekal dan tabah dalam meghadapi ujian daripada-Mu. Kekalkan ukhuwah yang terjalin antara aku dan sahabatku. Amin Ya Rabbal A’lamin” doa Wardah di dalam hatinya.

No comments:

♥...MENARIK...♥

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...